Wednesday, November 12, 2008

Utusan putar belit kenyataan Presiden Pas

KUALA TERENGGANU, 3 Novemver (SK): Presiden Pas Abdul Hadi Awang melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Utusan cuba memutar belit fakta tentang kenyataannya.

Kali ini berita yang dilaporkan oleh wartawannya, Zulkifli Mansor mungkin diubah oleh editor Mingguan Malaysia berhubung isu pelantikan pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Dalam laporan Mingguan Malaysia terbitan Utusan Melayu dipetik, Ahli Parlimen Marang itu tidak bersetuju dengan perlantikan bekas Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun PKNS itu.

Laporan itu mendakwa Ahli Parlimen Marang itu berkata, sistem pentadbiran Selangor sepatutnya diterajui oleh penduduk majoriti iaitu Melayu dan Islam.

“Sehubungan itu, beliau akan meminta penjelasan KeADILan Selangor berhubung pelantikan orang nombor dua PKNS itu,” lapor Mingguan Malaysia pada 2 November lalu.

Berita tersebut ditulis berpandukan sidang media yang diadakan selepas Abdul Hadi merasmikan majlis Ijtimak Kepimpinan Pas Terengganu di Kemaman sehari sebelumnya.

Seramai lima wartawan hadir di sidang media tersebut termasuk Zulkifli dan wartawan Sin Chew Daily, Lee Yong Sang.

Turut Hadir adalah Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Wan Mutalib Wan Embong.

Hadi mahu perjelasan editor Utusan

Sementara itu, ketika dihubungi oleh Suara Keadilan, bekas Menteri Besar Terengganu itu mahu pihak Utusan memberi penjelasan kepada beliau dalam tempoh 24 jam.

“Jika tidak kami akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar terbabit,” kata Setiausaha Khasnya, Zaihan Mohd Daud.
=======================================
(Berikut adalah transkrip tentang isu PKNS di sidang media tersebut)

Lee Yong Sang (LYS): Dato’ Seri boleh komen sikit tak itu, isu Low Siew Moi dilantik sebagai pemangku PKNS nampak (ada) bantahan dari PAS Selangor.

Abdul Hadi (AH): Saya baru balik daripada luar negara baru, (selama) sehari, tak dapat maklumat, dan saya memerlukan maklumat dari kawan-kawan Selangor, tak boleh beri komen.

LYS: Pasal dia kata (mem)bantah sebab bukan Melayu.

AH: Iya. Saya kena dengar dari Selangor dulu.

Wan Mutalib (WM): Pelantikan tu (hanya) pemangku.

LYS: Pemangku.

WM: It is acting, so, its not a final decision.

AH: Kalau pemangku itu boleh.

LYS : Maknanya kalau pemangku itu boleh terimalah ke macamana?

AH: Saya kena dengar keputusan Selangor dulu.

LYS: Sama dengan isu pemansuhan saham 30% Bumiputera, dapat tentangan dari PAS juga, So macamana?

AH: Itu juga saya mesti dapat penjelasan dari Selangor, kita tunggu, (saya) baru balik dari luar negara, tak pergi lagi (ke) pejabat di Kuala Lumpur.

LYS: Dato’ Seri beri komen secara amlah, kalau seseorang itu tidak diterima sebab dia bukan Islam, (untuk) dilantikkan jawatan ini kalau disebabkan dia bukan Islam, apa alasan akan diberikan.

AH: Sekarang, semua pihak menerima sama ada KeADILan ataupun DAP, teras pemerintahan dan pentadbiran Negara mestilah orang Melayu Islam, sudah diterima, dalam masa yang sama tidak menafikan peranan semua kaum yang ada dalam negara ini, (dan) itu asas umum.